GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini menerima kunjungan hormat perpisahan daripada mantan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (TSUK) Pembangunan, Dato’ Mohd. Zakuan Zakaria dan mantan TSUK Pengurusan, Dato’ Abdul Kahar Abdullah di pejabatnya sebentar tadi.
Dalam pertemuan itu, Mohd. Zakuan dan Abdul Kahar merakamkan penghargaan kepada Kon Yeow atas segala sokongan dan kerjasama sepanjang perkhidmatan mereka di Pulau Pinang.
Mohd. Zakuan memberitahu bahawa selama lima tahun menabur bakti di sini, Pulau Pinang agak berbeza daripada negeri-negeri lain.
“Pulau Pinang memang berbeza daripada negeri-negeri lain yang mana ia agak aktif daripada pelbagai segi dan menjadikannya unik,” ujarnya pada pertemuan berkaitan di sini.
Dalam pada itu, Kon Yeow merakamkan ucapan penghargaan kepada Mohd. Zakuan dan Abdul Kahar atas khidmat bakti dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang sehingga kini.
Difahamkan, Mohd. Zakuan kini menjawat jawatan sebagai Pengarah Pembangunan Negeri Perak manakala Abdul Kahar dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.
Kekosongan jawatan tersebut kini diisi oleh Mohamed Abdul Rahman sebagai (TSUK Pembangunan), manakala Muhamad Ghopran Yeop Hamzah (TSUK Pengurusan) berkuat kuasa semalam.
Selamat Maju Jaya!
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD